Oleh cikgu amin
Rencana ini dipetik dari Majalah The Teacher Daripada Guru Untuk Guru Julai 2009
Bagaimana menjadi seorang guru yang sentiasa dekat di hati pelajar? Sebagai panduan ada 10 tips bagaimana anda boleh menjadi seorang guru yang dihormati dan disayangi oleh pelajar anda.
- Guru yang dekat di hati pelajar sentiasa hadir ke sekolah : Tempat seorang guru ialah bersama-sama pelajarnya di dalam kelas, jika seorang guru itu tiada bersama-sama pelajarnya bermakna guru itu tidak mengajar. Seseorang guru mungkin terpaksa meninggalkan kelas atau pelajarnya atas sebab-sebab rasmi atau peribadi, tetapi adalah dinasihatkan jangan terlalu kerap. Mungkin ada ketikanya anda berasa kurang sihat, jika tidak serius, cuba hadirkan diri ke sekolah. "Guru tetap" yang kurang sihat adalah 10 kali lebih baik dari "Guru ganti" yang sihat. Kehadiran tetap menjadi satu kemestian. Berbanggalah dengan rekod kedatangan yang sempurna.
- Guru yang dekat di hati pelajar sentiasa ada bila diperlukan : Anda perlu membantu pelajar setiap masa. Ini bermaksud sebelum waktu sekolah, waktu rehat dan selepas sekolah. Anda tidak perlu melakukannya sepanjang masa. Mulakan dengan 2 hari seminggu sebagai contoh. Beritahu mereka waktu dan hari di mana mereka boleh berjumpa anda untuk tujuan berbincang. Jika ada keperluan dan mendapat sambutan, bolehlah ditambah menjadi tiga atau empat hari seminggu, itupun jika ia tidak TERLALU membebankan. Anda akan menjadi guru terbaik kepada pelajar. Bantulah mereka.
- Guru yang dekat di hati pelajar kenal pelajar mereka secara lebih dekat : Berbual dengan mereka semasa mengajar. Apakah muzik kegemaran mereka? Rancangan TV? Filem? Berbual dengan mereka di luar bilik darjah, di kantin atau di pondok bacaan. Lebih banyak anda tahu mengenai mengenai mereka, lebih mudah anda untuk menguasai diri dengan mereka. Adalah lebih mudah berbual dengan mereka ketika sedang mengajar. Kaitkan topik pengajaran dengan kehidupan mereka sebagai satu cara memulakan perbualan dengan mereka. Selain itu, hafal dan ingat nama mereka secepat mungkin.
- Guru yang dekat di hati pelajar perlu kenal ibu bapa pelajar : Dapatkan nombor telefon ibu bapa pelajar. Cuba hubungi mereka sekali sekala, jika mampu, hubungi sekerap mungkin. Anda tidak perlu berbual lama, sekadar bertanya khabar dan tunjukkan anda mengambil berat mengenai anak mereka dan pelajaran mereka. Hubungan ini secara tidak langsung akan membantu prestasi pelajar. Prestasi mereka akan meningkat dan akan lebih bersopan apabila mereka tahu anda mengenali dan sering berbual dengan ibu bapa mereka.
- Guru yang dekat di hati pelajar tahu apa yang mereka ajar : Jika anda tidak tahu mengenai sesuatu topik, bagaimana anda mahu mengajar? Guru perlu membuat persediaan secukupnya sebelum memasuki kelas. Sebaiknya, bersedialah sebaik sahaja anda menulis rancangan mingguan anda. Percayalah, jika anda mengajar tanpa persediaaan secukupnya, anda akan merasa menyesal setelah anda meninggalkan kelas anda. Jadi pastikan anda bersedia sebelum memasuki kelas.
- Guru yang dekat di hati pelajar menghadiri setiap acara sekolah : Pastikan anda sentiasa hadir dalam setiap acara di sekolah, seperti perhimpunan, sukan sekolah dan hari penyampaian hadiah. Kehadiran anda di setiap acara berkenaan akan menunjukkan kepada pelajar anda bahawa anda mengambil berat tentang mereka dan sentiasa menyokong kegiatan yang mereka sertai.
- Guru yang dekat di hati pelajar tinggal dalam kejiranan sekolah : Jika anda tidak tinggal dalam kawasan kejiranan sekolah, anda boleh mendekati pelajar yang tinggal dalam kejiranan sekolah dengan cara membeli belah atau makan di kedai makan berhampiran sekolah selepas waktu sekolah atau pada hujung minggu. Mungkin ada ibu bapa pelajar yang menjalankan perniagaan berhampiran sekolah atau pelajar sendiri membeli belah belah di kedai berkenaan. Cuba pantau kehidupan mereka. Lebih kerap pelajar melihat anda, maka akan lebih baik kelakuan dan sikap mereka di dalam kelas. Mereka akan melihat anda sebagai sebahagian daripada mereka.
- Guru yang dekat di hati pelajar makan di kantin sekolah : Di sesetengah sekolah, ada guru yang sering makan di luar kawasan sekolah atau membawa bekal dari rumah dan makan di bilik guru sahaja. Cubalah bersama mereka di kantin, makan bersama mereka di kantin. Sebahai contoh berbual mengenai makanan kegemaran mereka dan bagaimana mereka membelanjakan wang poket mereka setiap hari. Mana tahu, mungkin ada pelajar anda yang sering meminggirkan diri pada waktu rehat.
- Guru yang dekat di hati pelajar sentiasa berlakuk adil : Sentiasa harapkan yang terbaik dari pelajar anda, tetap pada masa yang sama anda perlu fleksibel. Tidak semua pelajar mampu menjadi yang terbaik. Berlaku adil tidak semestinya menjadikan anda tegas atau terlalu berlembut. Secara mudahnya, anda perlu menilai dan melayan pelajar berdasarkan kemampuan mereka.
- Guru yang dekat di hati pelajar tidak akan hilang sabar : Tahan kemarahan, semuanya akan berlalu. Jangan terbawa-bawa dengan rasa geram dan emosi. Pelbagai perkara boleh berlaku di dalam bilik darjah. Tangani masalah di dalam bilik darjah secara profesional. Mengambil tindakan mengikut emosi dan secara melulu hanya akan memburukkan keadaan dan akan memberi kesan kepada karier anda di kemudian hari.penulis : Sentiasa harapkan yang terbaik dari pelajar anda, tetapi pada masa yang sama anda perlu fleksibel. Tidak semua pelajar mampu menjadi yang terbaik"
hebat..teruskan bro..
BalasPadam